Translate

Monday, January 22, 2024

Ramai pesakit mental jumpa bomoh

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia kini semakin kronik apabila ramai pesakit terutama golongan muda lebih berminat untuk mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan alternatif seperti bomoh berbanding berjumpa pakar psikiatri. 

Situasi berlaku apabila pesakit mental ini dimomokkan dengan pelbagai kepercayaan karut kononnya mereka me­ngalami gangguan makhluk halus ataupun penyakit berunsurkan mistik. 

Berdasarkan Kajian Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), dianggarkan hampir 77 peratus individu yang menghadapi masalah kesihatan mental di negara ini gagal mendapatkan rawatan awal. 

Presiden MIASA, Anita Abu Bakar berkata, rawatan awal sebenarnya penting bagi mengubati masalah berkaitan mental. 

Beliau berkata, apa yang membimbangkan pihaknya apabila kebanyakan pesakit ini lebih gemar berjumpa dukun dan pengamal perubatan alternatif untuk mengubati penyakit yang dialami.

 “Mereka percaya masalah berkaitan mental yang dihadapi itu adalah disebabkan oleh unsur mistik dan sebab itu mereka beranggapan ia hanya boleh dirawat oleh bomoh.

 “Bagaimanapun, penyakit itu tidak juga sembuh, malah wang pesakit banyak dihabiskan untuk membayar rawatan. 

“Akhirnya, penyakit mental yang dihadapi akan semakin kronik dan selepas itu, barulah mereka mahu merujuk ke hospital,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Sehubungan itu, Anita menasihatkan individu yang mempunyai gejala penyakit mental agar segera mendapatkan rawatan dengan pakar kesihatan yang bertauliah. 

Jelas beliau, masyarakat hari ini tidak seharusnya bimbang dengan stigma negatif atau malu dicemuh masyarakat kerana tidak semua masalah mental itu dikategorikan sebagai gila.

 “Saya akui kesedara ngan masyarakat semakin meningkat sejak kebelakangan ini. 

“Buktinya, lebih 100,000 individu telah menghubungi MIASA untuk mengadu masalah berkaitan mental yang dihadapi mereka sejak permulaan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020,” katanya. 

Bagaimanapun, Anita memberitahu, hanya 33,000 orang daripada mereka tampil mendapatkan perkhidmatan susulan sokongan mental, emosi dan rohani setakat ini. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara masalah berkaitan mental yang sering diadukan kepada MIASA ialah kemurungan, depresi, kecelaruan bipolar dan skizofrenia. 

“Kes berkaitan kesihatan mental semakin kerap diterima kami sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula kerajaan pada pertengahan Mac 2020,” katanya. 

Anita berkata, golongan remaja dan belia juga semakin terdedah dengan ancaman masalah mental kerana terlalu terdedah kepada media sosial. 

Jelas beliau, mereka yang masih mentah biasanya tidak mampu menangani respon negatif segelintir netizen yang boleh dikategorikan sebagai buli siber. 

“Pengkongsian dan interaksi keterlaluan di media sosial sebenarnya turut menjadi punca golongan muda mengalami masalah mental,” katanya

No comments:

Post a Comment