Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Biarpun sudah berusia 21 tahun, namun fizikal Muhammad Hafizuddin Ismail yang terlantar akibat penyakit saraf, persis seperti seorang bayi apabila beratnya cuma kira-kira 12 kilogram (kg).
Anak bongsu daripada empat
beradik itu mula terlantar setelah tiba-tiba tidak boleh berjalan
sewaktu berumur 15 tahun.
Bapanya, Ismail Wahab, 63, berkata, pada mulanya, Muhammad Hafizuddin terjatuh dari tangga sekolah sewaktu berada di darjah enam.
“Dia (Muhammad Hafizuddin) tidak memaklumkan kepada saya dan arwah isteri (Khatijah Muhammad) tentang kejadian itu.
“Kira-kira enam bulan kemudian, anak saya mula mengadu sakit kaki dan barulah kami tahu cerita sebenar,” katanya ketika ditemui di Kampung Lorong Haji Da, Batu Burok, di sini baru-baru ini.
Ismail berkata, pada mulanya Muhammad Hafizuddin yang dirujuk ke klinik berhampiran cuma diberi rawatan sebagai pesakit luar, namun tahap kesihatannya semakin merosot kira-kira dua tahun kemudian.
Dia memberitahu, pemeriksaan doktor di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini mengesyaki Muhammad Hafizuddin mengalami penyakit saraf selain struktur tulangnya disyaki mula mereput.
“Dia lumpuh sepenuhnya kira-kira lima tahun lalu. Saya berikhtiar merawat anak saya ini termasuk secara tradisional sehingga ke Perak.
“Dugaan bertimpa apabila isteri saya, Khatijah yang menjadi tulang belakang selama ini meninggal dunia akibat kanser usus pada tahun 2020,” katanya.
Ismail berkata, pada tahun sama, perniagaan kedai makan yang dibukanya selepas bersara pula terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19.
Katanya, kesukaran hidup itu menyebabkan dia tidak mampu lagi membiayai kos perubatan Muhammad Hafizuddin yang sepatutnya menjalani rawatan berkala di HSNZ.
“Saya juga tidak mampu membeli susu khas buat Muhammad Hafizuddin yang mungkin menjadi faktor berat badan dia terus menyusut.
“Tiga anak saya lain yang bekerja sebagai tukang cuci dan penjaja dan sudah berkahwin ada membantu mengikut kemampuan mereka,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubungi Ismail di talian 010-9885731.
No comments:
Post a Comment