Translate

Tuesday, January 23, 2024

Sanggup cederakan diri selepas jumpa dukun kampung

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita berusia 28 tahun tidak menyangka tahap kesihatan mentalnya menjadi semakin kronik selepas berjumpa dengan seorang dukun kampung selepas didakwa terkena buatan orang. 

Wanita berkenaan yang mahu dikenali Maryam berkata, dia mula mengalami depresi kronik pada tahun 2020 ketika menjaga ibunya yang diserang strok secara bersendirian sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 “Waktu itu cuma saya seorang yang berada di rumah untuk menjaga ibu kerana tiga abang saya yang menetap di Kuala Lumpur tidak dapat pulang ekoran PKP. 

“Kerenah ibu yang sakit ditambah masalah pembelajaran menerusi pengajaran dan pembelajaran (PdP) silibus universiti secara online membuat saya tertekan dan banyak memendam rasa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Maryam berkata, pada waktu itu fikiran agak berkecamuk dan mula berfikir yang bukan-bukan kononnya adik-beradik lain yang berada di luar Terengganu lepas tangan tidak mahu sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga ibu mereka. 

Tambahnya, keadaan bertambah parah pada awal 2021 apabila mula meracau dan menjerit-jerit bagi melepaskan tekanan. 

 Maryam berkata, pada mulanya dia menerima rawatan daripada seorang dukun kampung kerana menyangkakan terkena ‘buatan orang’. 

“Selepas menjalani rawatan, penyakit saya masih tidak sembuh. 

“Sebaliknya keadaan mental saya semakin kronik apabila kerap melempar barangan dan mencederakan diri sendiri tanpa sedar,” katanya. 

Susulan keadaannya yang semakin kronik, Maryam akhirnya terpaksa dirujuk ke hospital berhampiran pada awal tahun lalu. 

 “Saya kini dalam proses pemulihan dan perlu mengambil pil penenang secara berkala apabila dirujuk kepada pakar psikiatri,” katanya.

No comments:

Post a Comment