Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI, MOHD. AZLI ADLAN, ROHANA MOHD. NAWI dan NUR AMALINA AZMAN
PETALING JAYA – Bebanan tugas pendidik selain sistem pendigitalan secara dalam talian yang tidak mampu dikuasai terutama dalam kalangan guru lama antara faktor ramai warga pendidik memohon untuk bersara awal.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, perkara itu antara isu yang sekian lama diperkatakan selain pernah diutarakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
“Faktor terbesar memang beban tugas sebab mereka sudah tak sanggup berdepan dengan kerja-kerja tersebut.
Kita tak boleh sekat mereka untuk bersara, tapi yang penting ada usaha mengurangkan beban tugas guru ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara yang paling ramai memohon bersara awal berdasarkan rekod KPM sepanjang 2021 dan 2022.
Menurut Fadhlina, bilangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu (2,862), Bahasa Inggeris (1,146), Matematik (1,015), Pendidikan Islam (755), Sains (629) dan Sejarah (483).
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pada masa ini diakui KPM mempunyai inisiatif dalam mengurangkan bebanan ditanggung oleh guru, namun keberkesanannya mungkin belum dapat dilihat lagi.
“Sudahlah bebanan tugas ditambah, tekanan guru-guru dengan sistem pendigitalan turut menjadi faktor,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang bekas guru Bahasa Melayu nekad bersara awal setelah tidak mampu menguasai teknologi bagi tujuan pengajaran.
Bekas guru yang mahu dikenali Ramli, 58, berkata, dia mengakui tidak berupaya mengikut kehendak pengajaran semasa yang ditetapkan kementerian.
“Saya tidak begitu mahir menggunakan komputer dan gajet lain sedangkan ia tuntutan pengajaran masa kini.
“Saya akur untuk mengundur diri daripada profesion perguruan yang saya cintai,” katanya yang bersara awal pada 2018.
Di Langkawi, Kedah, seorang guru Bahasa Melayu yang bersara tahun lalu dikenali Rohani, 57, berkata, mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan subjek dengan waktu mengajar terbanyak.
“Kebiasaannya jumlah guru yang mengajar subjek lain adalah kira-kira separuh daripada jumlah guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Jadi, pastinya saban tahun jumlah guru bahasa yang pencen juga adalah lebih ramai berbanding guru subjek lain,” katanya.
Di Kota Bharu, Kelantan, bekas guru, Noriha Yusoff, 56, berkata, dia sepatutnya bersara wajib dua tahun lagi, namun bersara pada tahun ini selepas tidak dapat mengikuti perkembangan teknologi maklumat.
“Saya perlu menggunakan komputer untuk setiap sesi pembelajaran. Keadaan itu menyebabkan saya agak tertekan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment