KUALA TERENGGANU – Biarpun sudah diberikan amaran awal, namun masih terdapat segelintir penerima bantuan eMadani mengambil jalan mudah melakukan penebusan bagi mendapatkan wang tunai segera.
Mereka tidak kisah dikenakan caj RM5 hingga RM20 bagi perkhidmatan yang ditawarkan asalkan mendapat wang tunai.
Seorang suri rumah dikenali sebagai Aminah, 47, berkata, dia dikenakan caj sebanyak RM5 bagi penebusan tunai bantuan kredit eMadani tersebut.
“Saya terjumpa dengan individu yang menawarkan perkhidmatan tebus eMadani di media sosial. Individu terbabit hanya mengenakan caj RM5.
“Dia memindahkan wang RM95 ke dalam akaun bank selepas saya mengikuti beberapa arahan mudah yang diberikannya,” katanya di sini semalam.
Aminah mendakwa dia memilih tunai berbanding melakukan pembelian menggunakan aplikasi yang dianggap leceh.
Jelas wanita itu, keadaan bertambah sukar apabila kredit eMadani hanya diterima di premis-premis terpilih dan besar di pusat bandar raya ini, sedangkan rumahnya terletak di pinggir bandar.
“Saya jarang keluar rumah kecuali pada hujung minggu. Lebih baik saya tebus tunai daripada luput begitu sahaja tanpa digunakan.," dakwanya.
Bantuan RM100 eMadani boleh ditebus pada 4 Disember lalu sehingga 20 Februari ini dan perlu dibelanjakan sebelum pukul 11.59 malam, 29 Februari ini.
Jika tidak digunakan selepas tarikh tersebut, baki wang akan luput secara automatik daripada e-dompet penerima.
Pengguna yang layak boleh menggunakan kredit RM100 itu untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan atau kod QR DuitNow.
Cara penebusan boleh dibuat melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terpilih iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.
No comments:
Post a Comment