Translate

Friday, January 12, 2024

19,000 mangsa banjir masih di PPS

 Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan MOHD. AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Gelombang banjir ketiga yang melanda empat negeri termasuk Kelantan dan Terengganu sejak Sabtu lalu menyaksikan seramai 19,070 orang masih berlindung di 79 pusat penempatan sementara (PPS) semalam. 

Dua negeri yang turut terjejas ialah Pahang dan Johor. 

Kesemua mangsa yang terlibat terdiri daripada 6, 218 keluarga. 

Di Kelantan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) negeri memaklumkan, empat daerah masih terjejas membabitkan Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kuala Krai dengan 17, 014 mangsa menjadi penghuni 44 PPS. 

“Pasir Mas kekal sebagai lokasi paling ramai terjejas. Setakat ini, paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya. 

“Sungai Pergau (Kampung Lawar, Jeli), Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) dan Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat) mencatatkan bacaan amaran selain Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tambatan Diraja selain Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada tahap berjaga-jaga,” katanya. 

Keadaan cuaca di Kelantan juga dilaporkan panas dan sesekali mendung. 

 Dalam pada itu, keadaan di Terengganu semakin pulih apabila hanya 1,786 mangsa daripada 462 masih berada di 24 PPS setakat pukul 4 petang semalam.

 Kuala Terengganu menjadi daerah terbaharu dan kedua pulih daripada banjir selepas Besut kelmarin.

 Jurucakap Sekretariat JPBN negeri berkata, Dungun kekal daerah paling terjejas diikuti Hulu Terengganu dan Kemaman. 

Keadaan cuaca di Terengganu juga mendung dan kadangkala hujan dalam tempoh singkat. Di Pahang, seramai 215 mangsa masih ditempatkan di sembilan PPS, manakala seramai 55 penduduk yang terjejas menjadi penghuni dua PPS di Johor.

 Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 750 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikerahkan ke negeri yang masih terjejas dengan banjir. 

Menurutnya, selain kekuatan sumber manusia, pihaknya turut menggerakkan 144 aset ke lokasi berkenaan.

“Berdasarkan laporan berkala, keadaan banjir hari ini (semalam) lebih baik berbanding hari sebelumnya. 

 “Setakat 28 Disember (kelmarin), sebanyak 47 buah bot, 32 buah lori, 59 buah kenderaan pacuan empat roda dan enam ambulans telah di kerah ke lima negeri yang masih ada masalah banjir. Buat masa ini semua aset selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment