Translate

Wednesday, January 17, 2024

UiTM latih orang kampung berniaga di platform e-dagang

KUALA TERENGGANU – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif melatih masyarakat luar bandar, Kampung Pulau Manis di sini memperluaskan pemasaran perniagaan menerusi platform e-dagang. 

 Ketua projek, Prof. Madya Dr. Nur Kamaliah Mustaffa berkata, program Pemerkasaan Komuniti Luar Bandar (Reach) itu merupakan anjuran Kolej Kejuruteraan UiTM dengan kerjasama Yayasan Telekom Malaysia (TM). 

“Kursus Asas Keusahawanan Shopee tersebut melibatkan 30 peserta dalam kalangan penduduk Kampung Pulau Manis. 

 “Mereka didedahkan secara terperinci tentang aspek asas mewujudkan akaun Shopee sekali gus menjalankan perniagaan online,” katanya pada penutup program Reach di sini semalam. 

Nur Kamaliah berkata, kursus itu turut mendedahkan masyarakat luar bandar tersebut tentang konsep dan strategi berkesan menguruskan perniagaan secara dalam talian.

Tambah beliau, ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai penduduk luar bandar melibatkan diri secara aktif dalam ekonomi digital.

“Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta terhadap perniagaan online.

 “Kami harap mereka dapat meningkatkan perniagaan kecil mereka sejajar sebagai cabaran ekonomi semasa,” katanya. 

 Kamaliah berkata, ia sejajar objektif program Reach untuk memperkukuhkan sosial, ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat luar bandar. 

Beliau berkata, selain kursus keusahawanan platform e-dagang, program Reach turut melibatkan aktiviti pemerkasaan penduduk di kampung terbabit. 

Ia katanya, menerusi kaunseling pendidikan dan kerjaya, kebun komuniti dan pemasangan lampu solar di sekolah dan rumah penduduk.

No comments:

Post a Comment