Translate

Friday, January 5, 2024

Banjir gelombang ketiga merebak ke Setiu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu hari ini semakin merebak dengan Setiu menjadi daerah terbaharu terjejas.

Setakat ini, mangsa banjir di negeri ini telah meningkat kepada 340 orang daripada 91 keluarga.

Mereka kini ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah termasuk Dungun dan Marang.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun menjadi daerah paling terjejas dengan 303 mangsa daripada 84 keluarga berada di empat PPS.

“Seramai 25 mangsa daripada empat keluarga pula berada di PPS Balai Raya Kampung Seladang, Setiu.

“Dewan Sivik Wakaf Tapai yang mempunyai 12 mangsa daripada tiga keluarga merupakan satu-satunya PPS yang aktif di Marang,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, mangsa banjir yang bakal berpindah di PPS dijangka meningkat berikutan hujan masih turun di kebanyakan kawasan di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment