KUALA NERUS – Pengunjung pantai di seluruh Terengganu diminta berhati-hati dengan kemunculan ulat bulu laut atau ca cing api yang boleh menyebabkan luka, bengkak dan alahan jika dipegang.
Ketua Unit Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Izwandy Idris berkata, ulat bulu laut atau nama saintifiknya, amphinome rostrata berada di pantai ekoran musim Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini.
Katanya, penemuan ulat bulu laut itu dimaklumkan oleh sukarelawan yang melakukan pemantauan berhampiran kampus UMT kelmarin.
“Banyak organisma hanyut ke pantai akibat arus dan ombak kuat akibat MTL baru-baru ini.
“Amphinome rostrata mudah melekat pada benda hanyut seperti sisa kayu dan sampah laut lain,” katanya di sini semalam.
Menurut Izwandy, ulat bulu laut mempunyai struktur bak kuku dipanggil chaetea yang bersifat tajam, namun rapuh serta mudah melekat pada kulit jika disentuh.
“Tusukan chaetae boleh mengakibatkan luka kerana ia mempunyai kelenjar berbisa yang boleh membuatkan rasa terlalu sakit, bengkak dan alahan,” katanya.
Sehubungan itu, Izwandy meminta orang ramai supaya melaporkan mengenai penemuan spesies itu bagi tindakan pemantauan selanjutnya.
No comments:
Post a Comment