KUALA TERENGGANU – Kehilangan ketua keluarga sembilan bulan lalu sedikit terubat buat seorang guru dalam merencana masa depan anak-anak apabila menerima pampasan sebanyak RM52,023.60 semalam.
Pampasan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu diterima Noorhayati Salleh, 48, yang kematian suami, Rospi Abu Bakar, 49, daripada Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Abdul Muie Ngah.
Rospi yang merupakan Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Perah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Mac lalu.
Menurut Noorhayati, ketika kejadian suaminya sedang memancing seorang diri di Felcra Pasir Pelata, Hulu Terengganu.
“Kami hanya berjaya menjumpainya terbujur di tebing sungai pada 12 tengah malam berdasarkan lokasi dikirim arwah suami sebelum itu,” katanya pada Konvensyen Pendidikan Persatuan Guru Besar Kebangsaan di sini semalam.
Noorhayati yang juga Guru SK Seri Berang itu berkata, pampasan tersebut akan digunakan untuk pendidikan lima anak mereka berusia antara lapan hingga 22 tahun.
“Tidak sangka memperoleh pampasan sebanyak itu walaupun arwah suami tidak sampai setahun menyertai Skim Emas YGMB,” jelasnya.
Pada majlis sama Guru Besar SK Payoh, Ahmad Hazli Abdul Multalib yang kematian isterinya, Yuhaneza M. Yusop turut menerima pampasan RM54,012.
No comments:
Post a Comment