KUALA TERENGGANU – Penderitaan Muhammad Hafizuddin Ismail yang terlantar sejak lima tahun lalu mendapat perhatian badan bukan kerajaan, Yayasan Ikhlas dengan melancarkan dana bagi membantu pemuda tersebut.
Pengerusinya, Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin berkata, pihaknya mengetahui kisah pilu yang menimpa lelaki berusia 21 tahun itu selepas disiarkan Kosmo! pada minggu lalu.
“Sebahagian sumbangan itu digunakan untuk membeli kerusi roda dan katil khas buat Muhammad Hafizuddin.
“Hari ini (semalam), Yayasan Ikhlas datang menziarahinya untuk menyerahkan sumbangan kepada bapanya (Ismail Wahab),” katanya ketika ditemui di Kampung Lorong Haji Da, Batu Burok di sini semalam.
Pada 10 Julai lalu, Kosmo! melaporkan berat badan Muhammad Hafizuddin persis bayi seberat 12 kilogram biarpun sudah berusia 21 tahun.
Anak bongsu daripada empat beradik tersebut dijaga sepenuh masa oleh bapanya, Ismail, 63, yang merupakan pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Zainur Rashid memberitahu, Ismail turut menerima bantuan wang tunai RM5,000, barangan keperluan dan perubatan bagi membolehkan warga emas tersebut menguruskan anaknya.
Tambah beliau, pihaknya turut berhasrat membina bilik khas dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa bagi keselesaan Muhammad Hafizuddin dengan kos hampir RM40,000.
“Sekiranya memerlukan rawatan lanjut di hospital, pihak kami akan membiayai kos sewaan ambulans,” katanya.
Tambah Zainur Rashid yang juga doktor perubatan, semakan mendapati Muhammad Hafizudddin menderita sindrom Fanconi.
Penyakit jarang berlaku itu menyebabkan buah pinggang pemuda tersebut bocor sekali gus gagal menyerap zat dan mineral yang diperlukan tubuh dan tulang.
“Sebab itulah tulangnya semakin rapuh dan berat badannya menyusut. Komplikasi penyakit itu mula berlaku sewaktu dia terjatuh di sekolah ketika berusia 12 tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment