Translate

Thursday, January 18, 2024

BN Terengganu fokus golongan muda

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) mengemukakan aku janji yang menawarkan 58 tawaran sekiranya berjaya menawan semula Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

 Aku janji itu terbahagi kepada lima teras utama iaitu kebajikan dan sosial, pendidikan dan agama, insfrastruktur, ekonomi serta orang muda dan belia. 

Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, antara yang diberi tumpuan dalam aku janji tersebut ialah kebajikan golongan belia yang merangkumi 31 peratus daripada populasi negeri berkenaan. 

“Semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta kelahiran Terengganu akan menerima bantuan sekali bayar atau komputer riba bernilai RM1,000 dalam tempoh 100 hari selepas kerajaan negeri dibentuk. 

“Kita juga akan memberi bantuan lesen memandu dan perniagaan kepada belia berkelayakan, selain memperkasakan kemudahan sukan dan e-sukan di negeri ini,” katanya di sini semalam.

Ahmad berkata, Yayasan Kebajikan Anak Muda Terengganu akan ditubuhkan dengan setiap persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar bakal menerima dana tahunan RM5,000. 

Tambahnya, lepasan diploma dan ijazah sarjana muda Terengganu juga berpeluang menyertai skim latihan di agensi kerajaan negeri dengan elaun antara RM1,200 dan RM1,500 sebulan. 

“Skim Latihan Lepasan IPT dalam tempoh setahun itu merupakan inisiatif BN bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan. 

“BN juga berjanji akan meningkatkan lagi pencapaian akademik dengan pelbagai insentif seperti bantuan RM600 kepada semua pelajar baharu Terengganu yang diterima memasuki sekolah berasrama penuh,” katanya. 

Ahmad berkata, semua murid dan pelajar negeri itu turut bakal menerima bantuan awal persekolahan RM150, selain pemberian komputer riba kepada semua pelajar baharu IPT.

No comments:

Post a Comment