Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha songket dan ukiran kayu terkenal kerugian lebih RM3 juta selepas bangunan Seni Kayu Warisan yang menempatkan koleksi jualannya musnah dalam kebakaran di Kampung Paloh di sini kelmarin.
Kebakaran pada pukul 10 malam itu turut memusnahkan kereta MG Rover milik Burhan Ashari, 68, dan tiga motosikal pekerjanya yang menetap di premis terbabit.
Burhan berkata, sewaktu kejadian, dia dan tiga pekerjanya tersebut sedang menikmati makan malam di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.
Beliau yang mengusahakan perusahaan Nor Atikah Songket bergegas pulang ke bangunan Seni Kayu Warisan terletak kira-kira tiga kilometer dari TTI sebaik dimaklumkan tentang kebakaran tersebut.
“Sebaik kami tiba, tingkat atas bangunan itu sedang marak terbakar. Usaha untuk menyelamatkan kereta, MG Rover dan tiga motosikal milik pekerja gagal.
“Syukur tiada kemalangan jiwa kerana ketiga-tiga pekerja yang tinggal di tingkat bawah premis mengikut saya makan malam,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun, Burhan sedih kerana koleksi berharga songket lama peninggalan arwah ibunya musnah dalam kebakaran tersebut.
Tambahnya, bangunan Seni Kayu Warisan berusia 50 tahun itu turut menempatkan lebih 10,000 pakaian seperti baju Melayu, jubah dan kurta yang merupakan stok lebihan anaknya, Mohd. Amir Imran, 36, bagi jualan Aidilfitri lalu.
“Bangunan yang terbakar ini asalnya bengkel perusahaan Nor Atikah Songket diusahakan arwah ibu.
“Ia kemudiannya ubah suai menjadi pejabat, ruang pameran ukiran kayu untuk jualan dan pusat penyimpanan koleksi songket lama peninggalan arwah ibu sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, seramai 36 anggota bomba dari empat balai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat tentang kebakaran itu pada 10.42 malam.
Beliau berkata, api kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian, namun struktur premis kayu itu telah musnah terbakar 100 peratus.
“Punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.
No comments:
Post a Comment