Translate

Wednesday, January 17, 2024

2.1 juta tan plastik dibuang setahun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Sebanyak 2.1 juta tan sampah berupa sisa plastik dibuang ke dalam laut di negara ini pada setiap tahun. 

Mengikut kajian ahli akademik Belanda, Lourens JJ Meijer pada tahun 2021, Malaysia berada pada kedudukan tangga ketiga negara pencemar utama lautan dengan sisa plastik di dunia. 

Antara sungai tercemar yang dipercayai mengalir sisa plastik ke laut adalah Sungai Rambai, Selangor, Sungai Chempedak dan Sungai Jawi (Pulau Pinang), Su­ngai Punggur (Melaka) dan Sungai Buluh (Johor). 

Pensyarah Kanan Fakulti Pe­ngajian Maritim dan Sains Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chuah Lai Fatt berkata, secara purata sebanyak hampir 6,000 tan sampah plastik dibuang oleh penduduk negara ini dan seterusnya memasuki perairan negara setiap hari.

 “Kebanyakan sisa plastik seperti beg, botol, penyedut minman, lampin pakai buang dan bekas makanan dibuang ke dalam longkang dan sungai. 

“Sampah plastik yang dibuang itu seterusnya mengalir ke dalam laut,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

Jelas beliau, keadaan itu menyebabkan kawasan perairan negara semakin tercemar kerana sisa plastik boleh mengganggu ekosistem hidupan laut selain memberi risiko terhadap kesihatan manusia. 

Menurut Lai Fatt, kajian Organisasi Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) turut mendapati hampir 50 peratus sampah yang terdiri daripada produk plastik yang dihasilkan di negara ini telah dibuang ke dalam laut. 

Hanya 10 peratus produk plastik yang dikitar semula, manakala 26 peratus dilupuskan di tapak pembuangan sampah dan selebihnya dibakar. 

“Maka tidak hairanlah, lebih 80 peratus sampah yang berada di perairan negara terdiri daripada plastik termasuk pukat yang juga diperbuat daripada material tersebut. 

“Sisa plastik menjadi antara pembunuh utama reptilia terancam seperti penyu kerana ia (plastik) ini disangka rumpai laut, ubur-ubur atau alga yang merupakan makanan haiwan marin tersebut.

 “Lebih menakutkan, terdapat sisa plastik yang terurai ekoran pendedahan kepada cuaca, cahaya, ombak, arus, udara, fenomena pasang surut yang akan menjadi mikroplastik sebelum diserap plankton,” katanya. Lai Fatt menjelaskan, plankton merupakan makanan ikan yang merupakan antara sumber protein utama manusia. 

Tambahnya, kajian turut mendapati hidupan laut yang termakan mikroplastik dalam plankton boleh memberi kesan kepada tumbesaran, kurang membiak dan mempunyai tingkah laku yang tidak normal. 

“Pengambilan ikan yang mengandungi mikroplastik dalam tempoh panjang sebagai rantaian makanan dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan manusia. 

“Mikroplastik bersifat toksik dan boleh mengakibatkan karsinogenik iaitu agen penyebab penyakit kanser,” katanya.

 Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan memperketatkan penguatkuasaan terhadap pihak yang suka membuang sampah antaranya meminda undang-undang seperti hukuman penjara atau denda minimum yang lebih tinggi kepada pesalah. 

“Perbuatan membuang sampah terutama plastik ke dalam longkang masih dipandang enteng oleh masyarakat. 

“Orang ramai kurang sedar sebahagian besar sampah yang dibuang itu akan mengalir ke laut yang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah menjejaskan kesihatan manusia.

 “Saya juga menggalakkan masyarakat secara sukarela melaporkan perbuatan tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam longkang, sungai dan laut kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya. 

Tambah Lai Fatt, walau bagaimanapun aduan yang dibuat orang ramai itu perlu disertakan dengan bukti sama ada gambar atau video bagi memudahkan siasatan pihak berkuasa. 

Mereka yang membuang sampah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

No comments:

Post a Comment