Translate

Wednesday, January 31, 2024

TDM bayar RM2.94 juta kepada LTAWNT

 

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu melunaskan keuntungan lebih RM2.94 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT). 

 Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pembayaran itu merupakan hasil perkongsian keuntungan usaha sama dalam perusahaan ladang kelapa sawit kedua-dua pihak bagi tahun kewangan 2022. 

 “Anak syarikat TDM yang menguruskan segmen perladangan, iaitu TDM Plantation Sdn. Bhd. telah mengendalikan ladang kelapa sawit seluas 1,336 hektar milik LTAWNT sejak tahun 1996. 

“Alhamdulillah, kita sekali lagi berpeluang menjana keuntungan menerusi usaha sama ini,” katanya selepas menyerahkan cek pembayaran itu di sini semalam. 

 Najman berkata, pembayaran itu bukti komitmen TDM memberikan pulangan mampan bagi setiap pelaburan yang telah diamanahkan. 

Tambahnya, tumpuan akan diberikan dalam meningkatkan jualan Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK) bagi memanfaatkan sepenuhnya premium CSPO dan CSPK yang tinggi pada masa ini.

 “TDM akan terus mengekalkan momentum dengan memberi tumpuan penuh dalam meningkatkan kelestarian dan jangka hayat segmen perladangan. 

 “Kita menyasarkan mencapai hasil jangka panjang yang maksimum,” katanya.

No comments:

Post a Comment