Translate

Monday, January 22, 2024

Banjir di Kelantan semakin buruk

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan MOHD. AZLI ADLAN 

KOTA BHARU – Gelombang kedua banjir di negeri Cik Siti Wan Kembang ini semakin serius apabila jumlah mangsa bertambah kepada 4,469 orang biarpun cuaca baik sejak kelmarin. 

Sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa dari 1,315 keluarga di dua buah daerah sehingga pukul 4 petang semalam meskipun keadaan cuaca panas dan sesekali hujan dalam tempoh beberapa minit. 

Dua daerah terbabit adalah Pasir Mas dan Tanah Merah. Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, sungai Golok di Rantau Panjang melepasi bacaan paras bahaya, namun ia sebenarnya menunjukkan trend menurun. 

Bagaimanapun, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dan Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) ketika ini mencatatkan bacaan berjaga-jaga. 

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, sebanyak 15 buah pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang dekat sini tenggelam akibat bah kelmarin. 

Menurutnya, kesemua pos itu berada di kawasan kawalan sempadan yang menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan dengan pos yang terjejas banjir ialah Pos PGA Terusan, Pak Teh Kana, Salleh Berek, Pak Atah, Sharifah dan Ibrahim Pencen. 

“Selain itu, Pos PGA Kaloi, Wakaf Zain, Pulau, Kubang Pak Hitam, Mek Gombak, Haiwan, Sekat Pintas Bukit Lata, Sekat Pintas Seronga dan Sekat Pintas Jejawi turut dinaiki air.

 “Balai Polis Rantau Panjang turut terjejas dalam gelombang kedua ini,” katanya semalam. 

Sementara itu, di Terengganu seramai 1,427 orang daripada 330 keluarga terpaksa berlindung di 20 PPS sehingga pukul 4 petang dengan lima daerah terjejas iaitu Dungun, Marang, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

No comments:

Post a Comment