Translate

Wednesday, January 24, 2024

Gagal agih bantuan banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan kesal kerajaan negeri Terengganu gagal mengagihkan bantuan banjir kepada sebahagian mangsa biarpun sudah lebih tujuh bulan musim tengkujuh berlalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi peruntukan tambahan RM50 juta bagi bantuan banjir untuk Terengganu. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sebelum ini, beliau menerima banyak aduan daripada mangsa banjir negeri ini termasuk di Seberang Takir, Kuala Nerus dan Kemaman masih belum dapat bantuan tunai RM1,000 tersebut. 

“Mereka tanya saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, mana duit (bantuan) itu? 

“Saya katakan kepada mereka ia telah diberi melalui saluran Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), ICU (Pejabat Pembangunan Persekutuan), pegawai daerah sebelum ke Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (yang dilantik kerajaan negeri),” katanya di sini semalam.

 Terdahulu beliau ditemui pada program Jelajah Madani peringkat Terengganu. 

Ahmad Zahid berkata, ramai mangsa yang masih belum mendapat bantuan itu mendakwa nama mereka tercicir kerana tidak sebulu dengan Pas yang menerajui kerajaan negeri Terengganu. 

Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia amat dikesali kerana bertentangan dengan prinsip keadilan yang sering dilaungkan Pas. 

“Pemerintah mesti adil, ini duit (bantuan banjir) yang sedikit pun tidak boleh adil,” katanya. 

Kosmo! pada 1 Julai lalu melaporkan, seramai 150 mangsa banjir di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman membuat laporan polis selepas mendakwa masih belum menerima bantuan yang dijanjikan kerajaan. 

Wakil penduduk, Kamarul Azhar Nawi, 48, mendakwa, aduan mereka kepada pengerusi jawatankuasa pembangunan kampung, tetapi tidak dipedulikan, malah Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab juga gagal memberi maklum balas.

No comments:

Post a Comment