Translate

Thursday, January 25, 2024

Mengaku janda demi wang zakat

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Golo­ngan miskin tegar di negeri ini sanggup melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan bantuan zakat termasuk mengaku sebagai janda biarpun bergelar isteri orang. 

Selain itu, terdapat golongan tersebut yang menjual semula barangan bantuan seperti enjin bot, motosikal roda tiga dan haiwan ternakan yang diberikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang untuk mengubah hidup mereka. 

Perbuatan itu membantutkan usaha Maidam untuk mengubah golongan itu untuk keluar daripada kemiskinan, malah bilangannya bertambah saban tahun. 

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, statistik menunjukkan bilangan asnaf fakir miskin bertambah 500 orang kepada 22,023 orang setakat April lalu berbanding 21,500 orang tahun lalu. 

“Keadaan itu menggambarkan seolah-olah usaha bersungguh-sungguh pihak zakat membantu golongan miskin selama ini gagal.

 “Saya bimbang kerana sejak berkhidmat (di Maidam) puluhan tahun, golongan fakir miskin di negeri ini tidak pernah berkurangan, malah semakin bertambah,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

Menurut Shaikh Harun, walaupun pandemik Covid-19 melanda tiga tahun lalu menjadi antara penyumbang kepada peningkatan angka tersebut, namun punca utama adalah mentaliti segelintir golongan miskin tegar. 

Jelasnya, ada asnaf yang tidak mahu berusaha kerana berasa selesa menerima bantuan zakat, malah tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan. 

“Ada yang sanggup mengaku sebagai ibu tunggal sedangkan masih bersuami semata-mata mahukan bantuan zakat.

 “Tidak kurang juga ada yang menjual semula barangan bantuan seperti enjin bot, motosikal roda tiga dan haiwan ternakan yang diberikan pihak Maidam untuk mengubah nasib masing-masing,” katanya. 

Shaikh Harun memberitahu, inisiatif menaja anak-anak miskin tegar yang keciciran pelajaran untuk mendapat kemahiran agar menjadi usahawan bagi mengubah nasib keluarga juga seolah-olah tidak memberikan hasil yang memuaskan.

Tambahnya, pelbagai alasan diberikan oleh golongan tersebut setelah kursus kemahiran yang menelan kos tinggi mencecah RM8,000 tamat. 

“Tajaan itu jauh lebih tinggi daripada bantuan diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti luar negara di bawah kategori asnaf fi sabilillah. 

“Akhirnya kehidupan mereka kekal miskin dan hanya menagih bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi cabaran besar buat Maidam dalam mengubah sikap serta mentaliti golongan tersebut yang bukan sahaja miskin harta, tetapi juga minda.

 “Sebagai agensi pelaksana, kita perlu mencari mekanisme lain lebih berkesan untuk mengubah mentaliti itu yang sudah bersarang sekian lama,” katanya. 

Beliau turut menepis persepsi masyarakat yang menuduh seolah-olah agihan zakat tidak telus.

 “Hakikatnya agihan melebihi kutipan. Misalnya, setakat Mac lalu, Maidam menerima RM24 juta. Agihan kepada asnaf yang layak jauh lebih banyak iaitu RM36.3 juta,” katanya.

No comments:

Post a Comment