Translate

Monday, January 29, 2024

BN optimis calon mampu pikat pengundi Terengganu

 KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) optimis barisan 27 calon yang ditampilkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mampu memikat pengundi, sekaligus merampas kembali negeri itu.

 Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pemilihan calon yang dipertaruhkan kali ini dilakukan secara teliti dan memenuhi kehendak ditetapkan kepimpinan parti. 

Beliau yang akan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, peluang BN memenangi PRN Terengganu cerah sekiranya gejala politik wang tidak berleluasa seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu. 

“Kita akan berjuang habis-habisan dan melihat mood rakyat (pengundi) kini, kita yakin rampas kerajaan Terengganu.

 “Jentera kita yang akan berganding bahu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan buat pertama kali telah bertambah baik dan kuat berbanding sebelum ini,” katanya di sini semalam.

 Kelmarin BN mengumumkan akan bertanding di 27 kerusi DUN Terengganu, manakala lima lagi akan ditandingi calon PH. 

BN Terengganu menampilkan 15 muka baharu dan selain Ahmad, nama besar dipertaruhkan ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di DUN Seberang Takir. 

Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari turut dipertaruhkan di DUN Ajil, selain Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku di DUN Pengkalan Berangan.

No comments:

Post a Comment