Translate

Tuesday, January 16, 2024

Gelombang ketiga ‘badai’ tiga negeri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA, NOR AINNA HAMZAH, HARIS FADILAH AHMAD dan NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

PETALING JAYA – Banjir gelombang ketiga mula melanda Terengganu, Kelantan dan Pahang apabila hampir 2,000 mangsa bah terpaksa berlindung di 23 buah pusat penempatan sementara (PPS) sejak semalam. 

Di Terengganu, hujan lebat sejak awal pagi semalam menyaksikan empat daerah terjejas iaitu Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Marang. 

 Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, 686 mangsa daripada 217 keluarga terpaksa berpindah ke 13 PPS di semua daerah terlibat. 

Untuk rekod, Terengganu baru enam hari pulih daripada bah gelombang kedua yang menjejaskan lebih 1,200 mangsa di enam daerah. 

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir kembali meningkat dengan daerah Jeli dan Tanah Merah terjejas membabitkan 1,147 orang daripada 306 keluarga ditempatkan di lapan PPS. 

Sekreteriat Pengurusan Bencana Kelantan berkata, empat sungai iaitu Sungai Pergau di Kuala Balah, Sungai Kelantan di Sungai Aring dan Sungai Lanas selain Sungai Golok di Jenob melepasi paras bahaya. 

Katanya, Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan amaran. 

“Sungai Golok di Kuala Jambu dan Sungai Semerak di Jambatan Melor kini berada pada paras berjaga-jaga,” katanya. 

Di Pahang, Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud memberitahu, seramai 75 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut semalam. 

Kesemua mangsa dipindahkan berikutan air Sungai Siam melimpah masuk ke penempatan berkenaan akibat hujan lebat sejak kelmarin.

 “Mangsa yang ditempatkan di PPS ini dipantau serta diberi bantuan makanan serta kebajikan oleh pihak berkuasa,” katanya. 

Sementara itu, di Negeri Sembilan, satu PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng di sini, berikutan kejadian banjir kilat akibat hujan lebat kelmarin.

 Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban memaklumkan, PPS yang dibuka pada pukul 1.30 pagi semalam menempatkan seramai 68 mangsa daripada 16 buah keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Chelogeh, Kampung Batu 18, dan Kampung Sungai Jai. 

Sementara itu, sebagai persediaan menghadapi gelombang ketiga, sebahagian besar 300 penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor, Hulu Dungun memilih terus menetap di PPS walaupun banjir melanda perkampungan mereka mulai surut semalam. 

 Kesemua mereka bimbang banjir akan berulang semula pada bila-bila masa memandangkan paras Sungai Dungun berhampiran masih tinggi dan hujan lebat berterusan. 

 Seorang penduduk, Tengku Maimun Tengku Ismail, 59, berkata, kebiasaannya dua perkampungan  yang terletak paling hulu di daerah ini tersebut akan dilanda banjir lebih daripada sekali pada setiap musim tengkujuh. 

 “Berdasarkan pengalaman sebelum ini, banjir akan sekali lagi melanda perkampungan kami pada bila-bila masa,” katanya. 

 Satu lagi PPS yang dibuka di kawasan tersebut sejak awal pagi semalam ialah Balai Raya Kampung Shukor. 

 Seorang lagi penduduk terjejas, Tengku Zulkarnain Tengku Man, 56, berkata, rumah mereka di Kampung Shukor mula dinaiki air pada pukul 8 malam kelmarin. 

Katanya, dia dan isteri tidak tunggu lama untuk berpindah ke PPS Balai Raya Kampung Shukor.

 “Banjir dilihat mulai surut tetapi tiada jaminan tidak akan berulang semula kerana hujan lebat ini dijangka hanya akan reda pada lusa (esok). 

“Kami sekeluarga memilih untuk terus berada di PPS demi keselamatan kerana bah biasanya naik dengan cepat pada waktu malam,” katanya.

No comments:

Post a Comment