Translate

Wednesday, January 24, 2024

Buruh maut dipanah petir sewaktu pikat burung

MARANG – Keasyikan tiga lelaki memikat burung berakhir dengan tragedi apabila mereka dipanah petir di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payong di sini kelmarin. 

Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, salah seorang daripada mereka iaitu Mohd. Hasan Mohd. Rani, 38, yang juga buruh binaan maut akibat terkena panahan petir tersebut. 

Dua lagi rakannya, Mohamad Fadilah Jusoh 37, dan Abdul Hisyam Muhamad, 37, yang turut sama memikat burung pula cedera ringan. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zaid Mat Deris berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga sahabat itu dikatakan keluar untuk memikat burung di lokasi kejadian yang merupakan tanah lapang pada pukul 6 petang. 

Sejam kemudian katanya, hujan lebat turun berserta ribut. Mereka segera berlindung di bawah sebatang pokok berhampiran.

“Sewaktu ketiga-tiga mangsa berada di bawah pokok itu, tiba-tiba mereka dipanah petir.

 “Mayat Mohd. Hasan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. 

“Setakat ini, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Dua lagi mangsa pula menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Payung.” katanya.

 Sementara itu, adik Mohd. Hasan, Noroshanita, 36, berkata, abangnya baru tiga bulan berjinak-jinak dengan hobi memikat burung. 

Katanya, kejadian panahan petir yang mengorbankan abang ketiganya daripada lapan beradik itu dimaklumkan oleh salah seorang jirannya sewaktu dia dan keluarganya berada di rumah pada waktu maghrib. 

“Saya, ayah (Mohd. Rani Ismail, 71) dan ibu (Che Rokiah Abdullah, 67) bergegas ke lokasi kejadian sebaik mengetahui insiden berkenaan. 

“Kami bagaikan tidak percaya melihat mayat abang (Mohd. Hasan) terkujur kaku di atas tanah.

 “Keadaannya biasa sahaja tanpa sebarang kesan terbakar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini semalam. 

 Noroshanita berkata, ibu dan bapanya juga hampir rebah kerana terlalu sedih sebaik melihat mayat abangnya itu.

No comments:

Post a Comment