Translate

Saturday, September 5, 2020

Terengganu ghairah cabar kejuaraan

 

TERENGGANU FC semakin ghairah untuk memburu tiga mata pada pertemuan Liga Super de­ngan Sabah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam ini.

Kapten pasukan, Lee Andrew Tuck berkata, keyakinan dia dan rakan-rakan sepasukan semakin melonjak selepas berjaya me­numbangkan Petaling Jaya City 2-0 di gelanggang lawan pada minggu lalu.

“Kemenangan pada aksi per­tama selepas bercuti panjang ekoran penangguhan Liga Super ekoran penularan pandemik Covid-19 itu telah meningkatkan motivasi kami.

“Persaingan kembali terbuka buat kami dan tiga mata penuh pada perlawanan menentang Sabah pada malam ini amat penting bagi terus mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak di persada liga,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Tuck yang merupakan arkitek bagi Terengganu FC bagaimanapun dia mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah pertemuan dengan Sabah nanti.

Ujarnya, biarpun baru dinaikkan ke Liga Super musim ini, Sabah amat berbahaya dan mampu membuat kejutan berdasarkan prestasi awal yang meletakkan skuad Badak itu selesa di tangga kelima liga.

“Ketua jurulatih (Mohd. Nafuzi Zain) juga mengingatkan kami supaya membaiki dan meningkatkan tempo permainan agar tidak lesu seperti dipamerkan pada 20 minit pertama menentang Peta­ling Jaya City sebelum ini.

“Selain itu, kami juga akan kehilangan laungan sokongan padu peminat tegar skuad Penyu ke­rana terpaksa beraksi di stadium kosong biarpun beraksi di laman sendiri,” katanya.

Kemenangan dengan Petaling Jaya City minggu lalu meletakkan TFC I di tangga ketiga liga dengan bekalan tujuh mata daripada empat perlawanan setakat ini.

No comments:

Post a Comment