Translate

Thursday, October 11, 2018

TFC I tidak akan beraksi secara bertahan di Larkin

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu FC I (TFC I) tetap berpuas hati meskipun sekadar membawa bekalan ti­pis dengan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali TFC I, Irfan Bak­ti Abu Salim  berkata, beliau lega anak-anak buahnya masih mempunyai kelebihan satu gol sebelum berentap semula di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin bagi aksi separuh akhir kedua piala berprestij itu pada 20 Oktober depan.

“Malam ini (kelmarin) kita cuma ada tiga peluang. Syukur, salah daripadanya membuahkan hasil, namun ia bukan bekalan yang cukup selesa.

“Kita tidak boleh bermain secara bertahan jika mahu mengekalkan kelebihan ini apabila beraksi di Larkin kelak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Irfan Bakti mengakui skuad kendaliannya gagal mengimba­ngi keampuhan JDT pada babak pertama, namun keadaan mula berubah apabila arkitek TFC I, Mohd. Faiz Mohd. Nasir dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.

Menurut jurulatih berpenga­laman itu, Mohd. Faiz berjaya memainkan peranan mengemudi jentera tengah skuad Penyu bersama Lee Tuck, sekali gus mengimbangi ancaman yang diberikan barisan bintang JDT.

“Saya hanya dapat menurunkan Mohd. Faiz pada separuh masa kedua kerana dia sebenarnya masih belum cergas 100 peratus.

“Kita bimbang kecederaan Mohd. Faiz akan berulang selain tidak mahu mengambil risiko kerana kita perlu khidmat dia untuk aksi separuh akhir kedua nanti,” katanya.

Pada aksi kelmarin, pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff muncul wira TFC I apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-79.

Bekas penyerang Kuantan FA itu bijak menolak masuk hantaran lintang kapten TFC I, Tchetche Kipre lalu menewaskan penjaga gol JDT, Mohd. Farizal Marlias.

No comments:

Post a Comment