Translate

Sunday, October 14, 2018

MAIDAM bawa sinar masa depan Wahab sekeluarga

KEMALANGAN yang menimpa Wahab Isa, 49, pada empat tahun lalu pasti diingati sebagai peristiwa hitam yang tidak dapat dilupakan oleh bapa kepada 10 anak tersebut.

Mengimbas kembali insiden tersebut yang terjadi pada pertengahan tahun 2014, Wahab yang ketika itu merupakan seorang kontraktor bercerita, sewaktu kejadian, dia dalam perjalanan ke Pulau Serai, Dungun, Terengganu untuk membuat kerja-kerja perpaipan.

"Sebaik tiba di Kampung Kelulut, Marang, sebuah kereta tiba-tiba membuat pusingan U di kawasan tidak sepatutnya. Saya yang sedang menunggang motosikal di belakangnya tidak dapat mengelak lalu merempuh kenderaan itu.

"Impak daripada perlanggaran terbabit, tempurung punggung kiri saya retak dan telah menerima rawatan dimasukkan besi bagi memastikan pemulihannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Wahab berkata, dia telah dibenarkan keluar dari wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selepas 15 hari terlantar dan selepas itu, keadaan fizikalnya berubah 360 darjah.

Menurutnya, kecederaan tempurung punggung kiri tersebut menyebabkan keseimbangan badannya menjadi tidak stabil dan hilang keupayaan untuk menjalankan kerja-kerja yang memerlukan kekuatan fizikal.

"Waktu itu, saya bukan sahaja tidak mampu meneruskan pekerjaan sebagai kontraktor perpaipan malah hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga termasuk anak bongsu yang ketika tersebut baru dilahirkan.

"Begitupun saya reda dengan ujian Allah dan tidak putus harapan. Saya dan isteri (Wan Hayati Wan Abu Bakar, 44) telah memohon bantuan asnaf daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM)," ujarnya.
Wahab berkata, permohonannya telah diluluskan MAIDAM pada tahun 2015 dengan bantuan bulanan sebanyak RM800.

Katanya, selain digunakan untuk perbelanjaan bulanan, sebahagian kecil amaun bantuan tersebut telah digunakan untuk berniaga secara kecil-kecilan.

"Isteri saya (Wan Hayati) berniaga makanan ringan dan minuman di perkarangan sebuah sekolah berhampiran rumah kami untuk mencari pendapatan lebih bagi menyara keluarga.

"Usaha kami itu telah menarik perhatian MAIDAM yang bermurah hati meluluskan pula permohonan kami untuk memperolehi sebuah motosikal roda tiga untuk kemudahan kami berniaga pada akhir tahun lalu," katanya.

Wahab memberitahu, motosikal roda tiga itu membolehkan dia membantu isterinya berniaga makanan ringan dan minuman tersebut selain memperluaskan kawasan perniagaan mereka.

Ujarnya, dia dan isterinya kini bukan sahaja berniaga di perkarangan sekolah malah di lokasi-lokasi lain termasuk taman rekreasi yang menjadi tumpuan ramai di sekitar Kuala Ibai dan Chendering, Kuala Terengganu.

"Kami berniaga bukan sahaja pada waktu persekolahan seperti dahulu malah pada hujung minggu dengan menaiki motosikal roda tiga terbabit.

"Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada MAIDAM dan pembayar zakat di seluruh negeri ini yang prihatin membantu kami untuk memulakan penghidupan baharu," katanya.

No comments:

Post a Comment