Translate

Tuesday, October 16, 2018

Dua syarikat biak nyamuk aedes di tapak pembinaan didenda

KEMAMAN – Dua syarikat pembinaan yang diserbu penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kemaman tujuh bulan lalu kerana membiarkan tapak pembinaan menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes didenda oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy menjatuhkan hukuman berkenaan selepas wakil Asia Gulf Property Sdn. Bhd. (Asia Gulf Property) dan Multielite Holding Sdn. Bhd. (Multielite Holding) membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau memerintahkan Asia Gulf Property didenda RM7,000 manakala Multielite Holding pula sebanyak RM10,000.

Penyelia tapak binaan Asia Gulf Property Woo Yue Thien, 40, dan penyelia tapak binaan Multielite Holding, Muhamad Ainman Bin Muhamad, 28, yang mewakili syarikat masing-masing membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua syarikat pembinaan itu didakwa melakukan perbuatan membiak serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk aedes albopictus dan aedes aegypti yang dijumpai di dalam bekas plastik serta tangki berisi air di dalam kawasan tapak pembinaan masing-masing.

Kesalahan itu didakwa dilakukan selepas tapak pembinaan Asia Gulf Property dan Multielite Holding yang masing-masing terletak di Kawasan Perindustrian Jakar 2 dan Kampung Dusun Nyior di sini diperiksa sepasukan penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kemaman pada Mac lalu.

No comments:

Post a Comment