Translate

Friday, October 5, 2018

Jangan terlalu hormat JDT - Lee Tuck

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERANCANG utama Terengganu Football Club I (TFC I), Lee Tuck menggesa rakan sepasukannya agar tidak terlalu menghormati Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu ini.

Pemain tengah kelahiran England itu berkata, walaupun rekod pertemuan kedua-dua pasukan tidak menyebelahi TFC I , ia tidak bermaksud misi untuk menumbangkan JDT yang juga juara bertahan Piala Malaysia terlalu mustahil.

"Saya dan rakan-rakan sepasukan telah menilai kedua-dua aksi pertemuan JDT dan Pahang dalam saingan suku akhir tempoh hari.

"Bukan terlalu mustahil untuk kami mengejutkan JDT pada saingan separuh akhir ini sekali gus mara ke final buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Tuck berkata, persiapan rapi telah dibuat berdasarkan taktikal dan strategi yang sedang diatur pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim bagi menghadapi skuad dari selatan tanah air tersebut pada aksi suku akhir pertama di gelanggang sendiri pada 6 Oktober ini.

Menurut beliau, skuad Penyu harus menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan iringan sorakan padu penyokong padu bagi mencari kelebihan sebagai bekalan berharga untuk dibawa ke Larkin, Johor pada mingu depan.

"Bagi pertemuan separuh akhir ini, kami lebih selesa dianggap sebagai 'underdog'. Sudah pasti JDT akan lebih tertekan untuk menang sebagai pasukan berstatus pilihan.

"Apa pun, kita harus fokus untuk mempamerkan permainan terbaik kerana hanya aksi di padang hanya yang akan memisahkan kedua-dua pasukan pada saingan separuh akhir ini," katanya.

No comments:

Post a Comment