Translate

Monday, October 15, 2018

Karnival ONE SSM Terengganu medan kempen kesedaran penipuan pelaburan haram

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberi tumpuan kesedaran terhadap kegiatan penipuan pelaburan haram pada pe­nganjuran Karnival Online Networking Entrepreneurs (ONE) peringkat Terengganu yang bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, kes penipuan pelaburan haram termasuk skim wang kutu moden merupakan isu yang telah berlarutan sejak sekian lama dan semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Jumlah kerugian yang direkodkan akibat kegiatan peni­puan melalui pelaburan haram dan tidak berdaftar telah mencecah RM1.031 bilion sejak tahun 2015.

“Sebanyak lebih 47 kertas siasatan juga telah dibuka SSM bagi menyiasat kes-kes itu mengikut Akta Syarikat 1965 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dalam tempoh sama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Karnival ONE di pasar raya besar Mydin Gong Badak di sini semalam.

Karnival ONE tersebut dirasmikan Ketua Setia­usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman.
Menurut Zahrah, tiga jenis pelaburan haram dan tidak berdaftar yang paling ba­nyak dikesan ialah pelaburan e-Mo­ney, penternakan dan pelaburan mata wang asing.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kempen kesedaran tentang pelaburan haram dan tidak berdaftar itu giat dilakukan sepanjang Karnival ONE selama dua hari berakhir hari ini menerusi gerai pameran dan sesi penerangan santai.

“Karnival ONE yang julung-julung kali diadakan di Terengganu ini juga merupakan inisiatif untuk menggalakkan peniaga termasuk usahawan atas talian berdaftar dengan SSM.

“Ia bertujuan mengurangkan kes-kes penipuan sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap mereka,” ujarnya.
Karnival ONE juga menampilkan pakar dan selebriti usahawan terkenal untuk berkongsi kisah kejayaan dan menyampaikan ilmu perniagaan.

SSM telah menganjurkan Karnival ONE sejak tahun 2015 dan sepanjang tempoh tiga tahun itu, ia telah menjelajahi 14 lokasi di seluruh negara termasuk terbaharu Terengganu.

No comments:

Post a Comment