Translate

Friday, October 12, 2018

Janda kedua kena sebat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang janda menjadi pesalah kedua bagi kes cuba melacurkan diri di negeri ini apabila dia dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini semalam.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail memerintahkan tertuduh berusia 45 tahun yang juga seorang peniaga nasi lemak menjalani hukuman empat kali sebatan selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan.

Beliau juga mengarahkan wanita yang menetap di Klang, Selangor tersebut menjalani hukuman pemulihan akhlak di Pusat Pelindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor selama enam bulan mengikut Seksyen 68 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

“Berdasarkan pengakuan tertuduh, dia telah mencemarkan imej Terengganu dengan datang ke negeri ini dari Selangor untuk menawarkan perkhidmatan urut dan seks.

“Biasanya kegiatan (pelacuran) ini mempunyai rangkaian dan tidak dilakukan secara bersendirian. Mahkamah berpendapat elok tertuduh ditempatkan di pusat pemulihan akhlak bagi mengelakkannya daripada gangguan luar,” kata­nya ketika membacakan penghakimannya semalam.

Kamalruazmi turut memutuskan hukuman sebatan bakal dijalani janda tanpa anak tersebut dilaksana di Penjara Kajang, Selangor setelah hukuman pemulihan akhlaknya selesai.

Tertuduh yang tersedu-sedan sewaktu membuat rayuan di dalam kadang tertuduh mendakwa terpaksa melakukan perbuatan keji itu kerana desakan hidup selepas kematian ibu angkat dan diceraikan suami pada tahun 2016.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd. Kahzmizan Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, wanita terbabit telah ditahan dalam serbuan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Pulau Duyong di sini pada pukul 11 malam, 19 September lalu.

Anggota penguat kuasa turut merampas pelbagai barangan termasuk kondom dan jel pelincir selain tertuduh mengakui menerima upah RM1,000 daripada pelanggannya.

Sebelum ini, seorang ibu tunggal dari Kelantan yang turut cuba melacurkan diri dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan enam sebatan.

No comments:

Post a Comment