Translate

Saturday, October 20, 2018

Abdul Malik enggan dabik dada

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENYERANG Terengganu Football Club I (TFC I), Abdul Malik Mat Ariff bersedia untuk sekali lagi menjadi watak pemusnah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Larkin esok.

Jaringan tunggal pemain ber­usia 27 tahun itu pada minit ke-79 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasi­ruddin Shah, Kuala Terengganu awal bulan ini memberi kelebihan kepada TFC I yang akan bertandang ke laman lawan.

Walaupun banyak bermain sebagai supersub, Abdul Malik merupakan antara senjata rahsia TFC I paling ampuh persis legenda Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Bukan sahaja sewaktu pertemuan dengan JDT pada 6 Oktober lalu,  dia turut meledak gol penting sewaktu diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Felda United sebelum ini.

Bekas penjaring terbanyak bagi kategori pemain tempatan Liga Premier bagi musim 2016 dan 2017 itu mengakui dia semakin ghairah untuk meledak gol pada pertemuan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos esok bagi membantu TFC I menjinakkan JDT, sekali gus mara ke final buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun.

“Saya janji akan mempamerkan aksi terbaik jika diberi pe­luang diturunkan pada perlawanan tersebut oleh ketua jurulatih ­(Irfan Bakti Abu Salim).

“Begitupun bukan kemasyhuran diri yang saya kejar. Apa yang penting ialah memastikan kejayaan pasukan, bonus bagi saya jika dapat menjaringkan gol pada aksi berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Abdul Malik berkata,  dia dan rakan-rakan sepasukan sedang bekerja keras membuat persedia­an bagi menghadapi perlawanan itu yang dijangka berlangsung sengit.

Ujar pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu, apa yang pen­ting, mereka perlu fokus dalam menterjemah strategi dan taktikal jurulatih sewaktu beraksi di padang kelak.

“Kami akan bermain bermati-matian bagi memenuhi impian seluruh rakyat Terengganu untuk mara ke final seterusnya membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini,” katanya yang pernah dua kali menjulang piala berprestij itu bersama Pahang pada tahun 2013 dan 2014.

No comments:

Post a Comment