Translate

Friday, October 26, 2018

Optimis kemarau trofi berakhir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

RAKYAT Terengganu menaruh keyakinan tinggi kepada pasukan Terengganu Football Club I (TFC I) untuk menamatkan kemarau 17 tahun menjulang Piala Malaysia pada aksi final di Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan  negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan skuad Penyu mara ke final Piala Malaysia dalam tempoh tujuh tahun telah membangkitkan keghairahan lebih 1.25 juta rakyat negeri tersebut.

“Kali terakhir Terengganu men­dakap Piala Malaysia pada tahun 2001. Kebetulan pada waktu itu kita berjaya menewaskan Perak 2-1 pada aksi final.

“Saya berkeyakinan tinggi TFC I mampu merealisasikan impian rakyat Terengganu untuk membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Wan Sukairi berkata, berdasarkan pe­merhatiannya, semua pemain-pemain TFC I kini berada dalam motivasi tertinggi untuk menumbangkan Perak pada aksi final yang berlangsung Stadium Shah Alam, ­Selangor.

Beliau berharap anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim dapat mengekalkan persembahan memberangsangkan yang telah dipamerkan sejak pada peringkat kumpulan Piala Malaysia lagi.

“Keupayaan menyingkirkan jua­ra Liga Premier, Felda Uni­ted dan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir dan separuh akhir juga diharap menjadi ‘batu loncatan’ untuk TFC I ‘memuncak’ pada final nanti,” katanya.

Skuad Penyu mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menyingkirkan juara bertahan, JDT dengan agregat 3-2 pada pe­ringkat separuh akhir.

Kali terakhir TFC I mara ke final Piala Malaysia adalah pada 2011, namun dikecewakan Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment