SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) mengharapkan doa rakyat Terengganu mengiringi mereka sewaktu bertandang membuat perhitungan dengan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2018 di Larkin malam ini.
Kapten pasukan, Tchetche Kipre berkata, dia dan rakan-rakan sememangnya mendambakan agar penyokong skuad Penyu beramai-ramai memenuhi Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada pertemuan penting tersebut bagi mengimbangi sorakan bergemuruh para peminat tuan rumah.
“Begitu pun saya sedar ada segelintir penyokong tegar TFC I tidak dapat bersama kami (di Larkin) atas pelbagai kekangan termasuk jarak perjalanan yang jauh.
“Mereka yang tidak dapat ke Larkin, cukuplah setakat doa. Moga usaha kita untuk menewaskan JDT seterusnya mara ke final (Piala Malaysia) dipermudahkan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kuala Nerus kelmarin.
Kipre yang berasal dari Ivory Coast berkata, dia dan rakan-rakan begitu teruja untuk berdepan JDT setelah bekerja keras membuat persiapan sejak dua minggu lalu.
Ayam tambatan TFC I itu mengakui walaupun misi sukar, namun dia berkeyakinan mampu untuk menjinakkan JDT selaku juara bertahan Piala Malaysia.
“Kita boleh layak (ke final) dengan tiga cara sama ada mempertahankan kelebihan satu gol, menang atau tewas dengan margin kecil.
“Apa yang menarik, kita telah menjaringkan gol pada setiap perlawanan dalam saingan Piala Malaysia musim ini sejak aksi pertama peringkat kumpulan. Kenapa tidak (membuat jaringan) di Larkin?,” ujarnya.
Pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu 6 Oktober lalu, TFC I berjaya menewaskan JDT 1-0 hasil jaringan penyerang gantian, Abdul Malik Mat Ariff.
No comments:
Post a Comment