Translate

Thursday, October 25, 2018

PBSNT jual tiket final mulai pukul 10 pagi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan penyokong tegar Terengganu FC I (TFC I) boleh membeli tiket perlawanan tersebut mulai Khamis ini.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sejumlah 30,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong skuad Penyu untuk menyaksikan aksi final di Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini.

Beliau berkata, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan aksi TFC menentang Perak dijual pada harga RM50 untuk dewasa, manakala RM5 bagi kanak-kanak.

“Kesemua tiket untuk penyokong TFC I dijual selama dua hari iaitu pada Khamis dan Jumaat ini. Kaunter tiket di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu akan dibuka pada pukul 10 pagi hingga 2 petang.

“Kaunter tiket itu akan te­rus dibuka mulai pukul 9 pagi keesokannya sekiranya tiket final itu masih berbaki,” katanya ketika ditemui selepas menyambut lawatan rombongan kerajaan negeri Kelantan ke Majlis Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus semalam.
Hishamuddin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu berkata, kejayaan TFC I mara ke final Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun telah membangkitkan keghairahan rakyat negeri tersebut terhadap bola sepak.

Beliau berharap, sokongan padu 30,000 penyokong tegar TFC I pada aksi final nanti diharap dapat menyemarakkan lagi motivasi pemain skuad Penyu untuk merampas semula piala berprestij tersebut yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2001.

TFC I yang dibimbing pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim mara ke final Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan agregat 3-2 pada peringkat separuh akhir.

No comments:

Post a Comment