Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) mendapat tonik tambahan menjelang aksi final Piala Malaysia selepas Irfan Bakti Abu Salim sah kekal mengendali pasukan itu pada musim depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, badan bola sepak negeri dan Irfan telah mementerai persetujuan untuk membentuk skuad TFC I yang lebih mantap pada musim 2019.
“PBSNT berpuas hati dengan prestasi memberangsangkan TFC I musim ini yang mara ke final Piala Malaysia pada Sabtu ini selain suku akhir Piala FA dan tempat kelima Liga Super.
“Magis Irfan terus ditagih untuk melakar kecemerlangan yang lebih besar buat TFC I pada musim depan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat PBSNT, Kuala Terengganu semalam.
Hishamuddin berkata, PBSNT turut mengekalkan Badrul Hafzan Razali dan Subri Sulong sebagai ketua jurulatih TFC III dan TFC IV. Tengku Hazman Raja Hassan pula dinaikkan pangkat sebagai pengendali TFC II.
Menurut beliau, pengekalan kesemua pengendali skuad pelapis TFC itu berikutan prestasi cemerlang masing-masing iaitu TFC II dan TFC III masing-masing muncul juara Piala Cabaran dan Piala Presiden selain TFC IV merupakan naib juara Piala Belia.
Sementara itu, Irfan yang ditemui di Padang Latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu mahu menjadikan aksi final menentang Perak tersebut sebagai medan terbaik buatnya untuk merangkul Piala Malaysia buat kali pertama dalam karier kejurulatihan.
Pengendali berpengalaman berusia 67 tahun itu memberitahu, beliau pernah berpeluang untuk menjuarai piala berprestij tersebut sewaktu membimbing Terengganu buat kali pertama pada tahun 2011, namun ia tidak kesampaian selepas tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi final.
“Pemain-pemain saya berada dalam motivasi terbaik untuk beraksi pada pentas final menentang Perak, Sabtu ini. Saya anggap ia sebagai final ketiga selepas kita berjaya melepasi final pertama dan kedua sewaktu menumbangkan JDT (Johor Darul Ta'zim) pada peringkat separuh akhir.
“Bagi saya, peluang 50-50 kerana berdasarkan rekod pertemuan pada saingan Liga Super dan Kumpulan A Piala Malaysia sebelum ini, setiap pasukan agak seimbang dengan masing-masing memenangi dua aksi,” katanya.
No comments:
Post a Comment