Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Gara-gara kecewa putus tunang, seorang remaja yang juga pekerja sebuah restoran makanan segera di Kuala Nerus tergamak menggugurkan bayi yang dikandungnya, Jumaat lalu.
Gadis berusia 22 tahun berasal dari Kota Belud, Sabah itu melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu ketika usia kandungannya mencecah lima bulan didakwa hasil hubungan terlarang dengan bekas tunangnya.
Untuk melakukan pengguguran itu, gadis itu dipercayai telah membeli pil secara online.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, suspek yang disoal siasat mengaku membeli 10 biji pil gugur kandungan dengan harga RM600 setelah memperoleh maklumat daripada laman Facebook baru-baru ini.
“Berdasarkan keterangan awal, suspek mengaku telah menelan dua biji pil terbabit manakala lapan biji lagi dimasukkan ke dalam rahim menerusi alat sulitnya pada kira-kira pukul 11 malam, 19 Oktober lalu.
“Sejam kemudian, dia telah melahirkan janin berusia 20 minggu yang telah cukup sifat secara bersendirian di rumah sewanya di Dataran Tembusu, Kuala Nerus,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.
Suffian berkata, suspek kemudiannya telah ‘menggagahkan’ diri membawa janin dipercayai jantina lelaki seberat 300 gram terbabit untuk menemui seorang penduduk di kampung berhampiran bagi meminta bantuan agar dikebumikan.
Bagaimanapun, penduduk kampung enggan berbuat demikian kerana takut menyalahi undang-undang dan telah meminta suspek agar memaklumkannya kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Wanita terbabit kemudiannya telah membawa janinnya dan menyerah diri ke Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus pada pukul 7 pagi, 20 Oktober dengan menunggang motosikal jenis skuter.
“Dia dibawa untuk menerima rawatan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini setelah keterangan selesai diambil dan keadaannya masih lemah pada masa ini,” katanya.
Suffian berkata, suspek mendakwa dia terdesak untuk menggugurkan kandungannya selepas ditinggalkan bekas tunangnya yang juga berasal dari Sabah baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment