AKSI final Piala Malaysia 2018 di Shah Alam esok merupakan peluang terbaik buat penyerang Terengganu Football Club I (TFC I), Mohd. Ashari Samsudin untuk menebus kehampaan tujuh tahun lalu.
Masih segar di ingatan pemain berusia 33 tahun itu, impian rakyat Terengganu untuk menyambut kepulangan Piala Malaysia buat kali kedua musnah selepas tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi final edisi 2011.
Ashari berkata, tambah perit, detik kemenangan itu terlalu hampir selepas dia meledak gol pendahuluan buat Terengganu pada minit ke-59 sebelum terpaksa menanggung kecewa akibat kebangkitan skuad Hobin Jang Hobin dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan.
“Jaringan pemain Negeri Sembilan iaitu S. Kunalan dan Hairuddin Omar pada minit ke-81 dan k-86 meranapkan harapan kami untuk merangkul trofi Piala Malaysia pada tahun 2011.
“Sekiranya saya diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) untuk beraksi pada final Sabtu ini (esok), sudah pasti saya secara peribadi akan bermati-matian untuk memenuhi hasrat tertangguh selama ini iaitu menjulang Piala Malaysia,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Nerus semalam.
Ashari berkata, sebagai satu-satu pemain dalam skuad Terengganu tahun 2011 yang masih tinggal, dia akan berkongsi pengalamannya dengan generasi muda TFC I.
Menurut pemain kelahiran Marang itu, walaupun situasi sudah berbeza, namun dia berharap mereka sepasukan tidak akan mengulangi kesilapan yang dilakukan pada tujuh tahun lalu, sekali gus bakal menyebabkan TFC I terus kempunan menggigit jari lagi.
Selain muncul naib juara Piala Malaysia, Terengganu yang turut dibimbing Irfan pada masa itu turut menjuarai Piala FA dan naib juara Liga Super pada musim 2011.
No comments:
Post a Comment