Translate

Saturday, October 20, 2018

Kecemerlangan skuad pelapis inspirasi TFC I

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEJAYAAN skuad pelapis, Terengganu Football Club II (TFC II) merangkul Piala Cabaran kelmarin diharap menjadi inspirasi kepada ‘pasukan abang’, TFC I untuk menyingkirkan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di laman lawan Sabtu ini.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris (gambar) berkata, pihaknya optimis skuad Penyu mampu mara ke final, sekali gus merangkul Piala Malaysia buat kali kedua.

“Kesemua skuad pelapis iaitu TFC II, TFC III dan TFC IV mara ke final kejohanan masing-masing musim ini dengan TFC II dan TFC III muncul juara Piala Cabaran serta Piala Presiden. Terengganu City FC pula juara Piala FAM, manakala skuad negeri mara ke aksi final Piala Emas Raja-Raja pada 21 Oktober ini.

“Kini tiba, masanya TFC I sebagai ‘pasukan abang’ untuk meneruskan kejayaan yang telah dirintis ‘skuad adik’ bagi merealisasikan musim gemilang bagi bola sepak Terengganu tahun ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Najmil Faiz berkata, Peteh optimis ke­lebihan satu gol yang diperoleh sewaktu aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 6 Oktober lalu dapat dipertahankan TFC I.

Beliau berkata, walaupun bakal menghadapi sorakan puluhan ribu penyokong lawan, tiada apa yang mustahil kerana Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin terbukti sebelum ini bukanlah terlalu kebal buat JDT yang juga juara bertahan Piala Malaysia.

“JDT diakui pasukan gergasi dalam Liga Malaysia tetapi skuad Harimau Selatan itu terbukti pernah tewas kepada Pahang dan MISC-MIFA di Larkin pada musim ini.

“Ketua Jurulatih TFC I (Irfan Bakti Abu Salim) juga mempunyai rekod pernah dua kali berjaya menumbangkan JDT di gelanggang keramat JDT itu sewaktu beliau mengemudi Felda United beberapa musim lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Najmil Fazi yakin Irfan mempunyai ramuan mujarab bagi menyekat JDT, sekali gus membolehkan TFC I mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun.

Pada aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu awal bulan ini, TFC I memperoleh kelebihan tipis apabila menewaskan JDT 1-0.

No comments:

Post a Comment