Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu diterajui Pas mengeluarkan garis panduan baharu bagi program kesenian dan kebudayaan di negeri tersebut yang menetapkan hanya lelaki boleh melakukan persembahan nyanyian dan tarian pada acara terbuka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, penyanyi dan penari wanita pula boleh melakukan persembahan melibatkan acara tertutup sahaja.
“Ia tidak bermakna wanita tidak boleh terlibat langsung dalam persembahan pentas. Contohnya, ada beberapa pelakon wanita terlibat dalam persembahan teater pada program penutup Karnival Pantai di Dataran Batu Burok di sini pada hujung minggu lalu.
“Garis panduan dikeluarkan Jabatan Pelancongan negeri malam tadi (semalam) bertujuan agar tiada percampuran lelaki dan wanita melampaui batas berlaku dalam setiap program kesenian dan kebudayaan di negeri ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Exco Mingguan di sini semalam.
Ariffin berkata, garis panduan tersebut turut menetapkan individu yang terlibat dalam persembahan pentas di negeri ini juga perlu berpakaian kemas dan menutup aurat selain menjaga adab dan tingkah laku masing-masing.
Selain itu, panduan itu turut menetapkan persembahan muzik dibenarkan selepas waktu Isyak dan tidak melepasi pukul 12 tengah malam manakala pada waktu siang perlulah tidak melampaui batas waktu solat.
“Persembahan pentas juga tidak dibenarkan dalam tempoh mulai waktu solat Maghrib hari Khamis sehingga selesai solat Jumaat hari berikutnya.
Begitupun, percampuran antara lelaki dan perempuan dibolehkan untuk persembahan melibatkan kanak-kanak.
“Peraturan ini juga tertakluk kepada masyarakat bukan Islam namun terdapat kelonggaran bagi golongan itu mengikut budi bicara bagi kes-kes tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak pula memberitahu, kerajaan negeri menolak permohonan penganjuran program Island Music Festival yang dijadualkan berlangsung di Pulau Redang pada 12 hingga 14 Oktober ini.
Beliau berkata, penolakan tersebut dibuat setelah kerajaan negeri berpendapat festival muzik yang telah dianjurkan sejak tahun 2013 tersebut bercanggah dengan budaya dan moral Islam dan ketimuran selain mendapat bantahan penduduk setempat.
No comments:
Post a Comment