Translate

Thursday, October 4, 2018

Irfan dedah kejayaan pasukan TFC I

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEKUATAN mental pemain biar pun ketinggalan dua jaringan menjadi faktor kebangkitan dramatik Terengganu Football Club I (TFC I) menewaskan Felda United 4-3 pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kejayaan mengatasi skuad The Fighters dengan agregat 6-4 membolehkan skuad kendaliannya melangkah ke sai­ngan separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun.

“Kita memang bermain di bawah prestasi sebenar pada separuh masa pertama sehingga ketinggalan 0-1.

“Di bilik persalinan, saya katakan kepada pemain-pemain (TFC I), mereka perlu bangkit kerana ini adalah masa terbaik untuk mara ke separuh akhir (Piala Malaysia),” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Irfan berkata, beliau telah mengarahkan arkitek TFC I, Lee Tuck untuk lebih berani mengatur serangan dan mengucar-kacirkan benteng pertahanan Felda United dan hasilnya pemain kelahiran England itu berjaya meledak gol pertama yang telah mengembalikan motivasi pasukannya pada minit ke-56.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, kemasukan pemain tengah cilik, Mohd. Faiz Nasir pada minit ke-51 amat membantu untuk kembali ‘menghidupkan’ barisan sera­ngan skuad Penyu.

“Saya puji kekuatan mental para pemain berjaya dua kali bangkit selepas ketinggalan dan tidak putus harapan selagi wisel penamat tidak ditiupkan pengadil perlawanan.

“Kita juga berjaya menamatkan ‘badi’ gagal mencatatkan kemenangan di gelanggang sendiri dalam kempen Piala Malaysia ini. Skuad saya sudah bersedia untuk menghadapi Johor Darul Ta’zim atau Pahang pada saingan separuh akhir nanti,” katanya.
Terdahulu, Felda United mendahului 2-0 menerusi jari­ngan pemain pertahanan import, Thiago Junio dan penye­rang, Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-12 dan m-48.

TFC I berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi perancang import, Lee Tuck dan pemain pertahanan, Adib Aizuddin Ab. Latif pada minit ke-56 dan m-69.

Felda United kembali memperoleh kelebihan apabila penyerang import, Gilberto Valdenesio menjadi kedudukan 3-2 pada minit ke-78 sebelum dua penyerang TFC I, Abdul Malik Mat Ariff dan Tchetche Kipre meledak gol pada minit ke-82 dan m-86 sekali gus memusnahkan impian skuad The Fighters.

No comments:

Post a Comment