Translate

Tuesday, October 9, 2018

Pas tidak gentar Anwar, yakin dapat sokongan pengundi tentera

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Pas yakin pencalonan Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhar mewakili partinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson mampu meraih undi pengundi dalam kalangan anggota dan bekas pasukan keselamatan itu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengundi dalam kalangan tentera amat signifikan bagi Parlimen Port Dickson dan jika sokongan diberikan kepada calonnya, ia mampu menggugat bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Seperti saya kata sebelum ini, untuk menang tidak mudah, tidak bukannya mustahil. Pas juga pernah menang dalam beberapa PRK yang pernah diadakan sebelum ini seperti PRK Arau (pada tahun 1998).

"Pas tidak gentar (dengan Anwar) malah Tun Mahathir (Mohamad) pun kita lawan. Pada tahun 1969, kita pernah mengalahkan Tun Mahathir di Parlimen Kota Star Selatan (pada Pilihan Raya Umum ke-3)," katanya ketika ditemui di Masjid Rusila di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang juga bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Parlimen.


Pada PRU-14, Danyal memenangi Parlimen Port Dickson dengan majoriti 17,700 undi selepas memperolehi 36,225 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk V. Mogan (18,515 undi) dan calon Pas, Mahfuz Roslan (6,594 undi). - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment