PENYOKONG Terengganu Football Club I (TFC I) yang akan membanjiri Stadium Shah Alam, Selangor untuk menyaksikan aksi final Piala Malaysia dengan Perak esok disaran berpakaian hitam putih sebagai tanda kesatuan hati.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, warna hitam putih amat sinonim dan menjadi identiti Terengganu serta skuad Penyu sejak sekian lama.
“Solidariti rakyat Terengganu ini saya pasti akan membangkit lagi semangat pemain-pemain TFC I untuk bermain bermati-matian pada aksi final Piala Malaysia tersebut.
“Bergayalah dan ekspresi sokongan padu kita terhadap TFC I menerusi fesyen, kain pemidang dan rambut dengan bebas serta mengikut selera masing-masing selagi tidak melampaui batas agama dan adat ketimuran,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Hishamuddin berkata, penyokong TFC I yang akan melakukan perjalanan jarak jauh lebih 400 kilometer ke Shah Alam dari Terengganu sama ada dengan bas mahupun kereta juga dinasihatkan agar berhati-hati di jalan raya dan mementingkan keselamatan diri.
Menurut beliau, di sebalik keghairahan aksi final tersebut, PBSNT juga menuntut penyokong tegar skuad Penyu agar terus berdisiplin dan menjaga akhlak biarpun kemungkinan berhadapan dengan provokasi daripada pelbagai pihak.
“Menang atau kalah adat permainan. Tunjukkan contoh terbaik seperti memastikan kebersihan stadium dengan mengutip sampah di tempat duduk masing-masing sejurus tamat perlawanan.
“Insya-Allah doa rakyat Terengganu untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua moga-moga dimakbulkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment