Translate

Monday, October 29, 2018

Terengganu umum cuti peristiwa hujung minggu ini

KERAJAAN negeri Terengganu meng­umumkan cuti peris­tiwa pada Ahad ini sempena kejayaan Terengganu Football Club I (TFC I) mara ke final Piala Malaysia 2018.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa tersebut bertujuan memudahkan urusan perjalanan pergi dan pulang lebih 30,000 penyokong tegar TFC I ke Stadium Shah Alam, Sela­ngor bagi menyaksikan aksi final menentang Perak, Sabtu ini.

“Menang atau kalah TFC I pada aksi final tersebut, cuti peristiwa diisytihar untuk seluruh Terengganu, Ahad ini.

“Saya harap ia bukan sahaja memudahkan urusan penyokong, malah diharap mampu menaikkan semangat pemain TFC I beraksi cemerlang, sekali gus membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu semalam.
Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berharap agensi kerajaan dan syarikat swasta, institusi pengajian tinggi serta Jabatan Pelajaran negeri dapat membuat perubahan jadual sekiranya memerlukan berikutan pengumuman awal cuti peristiwa terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, insentif kepada pemain dan pengurusan TFC I pula akan diumumkan selepas aksi final Piala Malaysia berkenaan.

“Insya-Allah pasti ada (imbuhan). Doakan moga-moga TFC I berjaya merangkul Piala Malaysia,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat GLE Centre Sdn. Bhd. (GLE Centre) yang mengeluarkan kopi jenama Super Jantan selaku penaja mengambil inisiatif menemui pemain-pemain TFC I di padang latihan Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus semalam.

Pengarah Urusan GLE Centre, Mohd. Zulkifli Harun berkata, pertemuan itu bagi memberi motivasi kepada pemain-pemain skuad Penyu yang akan membawa harapan 1.25 juta rakyat Terengganu pada aksi final berkenaan.

No comments:

Post a Comment