KEMAMAN – Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (gambar) mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi perebutan kerusi Timbalan Presiden pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Terengganu semalam.
Rafizi memperoleh 363 undi manakala Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pula mendapat 320 setakat pukul 8.30 malam.
Setakat ini keputusan pemilihan melibatkan jawatan kedua tertinggi PKR itu hanya diperoleh di Cabang Kemaman manakala kiraan undi masih dilakukan di baki tujuh cabang lain di Terengganu.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Kemaman, Mohd. Huzaifah Md. Suhaimi mempertahankan jawatannya selepas menewaskan tiga pencabarnya, Zukri Aksah; Alias Abd. Majid dan Ahmad Nazri Mohd. Mohd. Yusof.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail juga kekal sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu selepas mengatasi dua saingannya, Mohd. Al-Faizal Amjed dan Md. Shuhaimi Ismail.
Azan dan Mohd. Huzaifah sebelum ini telah menyatakan sokongan terhadap pasukan Rafizi yang juga anak jati Terengganu.
Kira-kira 12,000 ahli PKR negeri itu layak memilih kepimpinan baharu parti tersebut dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.
Perjalanan Pemilihan PKR di Terengganu berjalan lancar kecuali insiden kecil pertengkaran mulut antara penyokong calon dipercayai kerana pengagihan poster kempen di Cabang Marang.
No comments:
Post a Comment