Translate

Saturday, October 6, 2018

Lebih 8,000 penyokong TFC I berebut beli tiket separuh akhir Piala Malaysia

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hujan renyai tidak menjadi halangan lebih 8,000 penyokong skuad Penyu membanjiri perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin di sini hari ini untuk membeli tiket aksi separuh akhir pertama antara Terengganu Football Club I (TFC I) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) malam ini.

Sebahagian penyokong terbabit termasuk wanita telah memenuhi perkarangan stadium terbabit sejak pukul 6 pagi dan beratur sejauh kira-kira satu kilometer untuk menunggu kaunter tiket dibuka pada pukul 10.30 pagi.

Kelewatan kaunter tiket dibuka menyebabkan segelintir penyokong TFC I terbabit hilang sabar dan berasak-asak sehingga memaksa beberapa anggota polis campur tangan untuk meredakan keadaan. 
Kesemua tiket aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia itu habis dijual sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari menyebabkan ramai lagi penyokong yang masih beratur kehampaaan.


Aksi menentang JDT yang juga juara bertahan Piala Malaysia menimbulkan keghairahan penyokong tegar  TFC I selepas pasukan Pantai Timur itu mara buat pertama kali sehingga peringkat separuh akhir dalam pertandingan piala berprestij berkenaan dalam tempoh tujuh tahun. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment