Translate

Monday, October 8, 2018

Mohd. Al-Faizal sangkal tewas secara rasmi pemilihan Ketua Cabang Kuala Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Terengganu, Mohd. Al-Faizal Amjed menyangkal telah tewas secara rasmi pada pemilihan yang diadakan di Dewan Seri Budi di sini hari ini.
Beliau mendakwa Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail masih belum boleh diisytiharkan secara muktamad sebagai pemenang dalam pemilihan jawatan Ketua Cabang Kuala Terengganu kerana terdapat 125 undi ragu.

"125 undi ragu itu terlalu tinggi dan saya percaya ia boleh mengubah keputusan (pemilihan) sekiranya diambil kira.

"Apatah lagi saya cuma tewas dengan majoriti 81 undi sahaja dengan Azan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Azan yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar memperolehi 180 undi manakala Mohd. Al-Faizal (99 undi) dan Md. Shuhaimi Ismail (14 undi). 

Mohd. Al-Faizal berkata, 125 undi ragu itu mewakili 29.9 peratus daripada 418 ahli PKR Cabang Kuala Terengganu yang telah mengundi pada pemilihan tersebut.

Menurutnya, beliau telah menandatangani Borang 11  selepas mendapat jaminan daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk melakukan kiraan semula undi termasuk melibatkan undi ragu.

"Saya berharap ia diambil perhatian oleh JPP untuk melakukan pengiraan semula bagi pemilihan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu.


"Saya memberi contoh keputusan pemilihan Ketua Cabang PKR Machang, Kelantan telah digantung setelah mendapati terdapat 41 undi ragu," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment