Translate

Wednesday, October 10, 2018

Janda laku persediaan melacur dihukum empat sebatan, pemulihan akhlak enam bulan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang janda menjadi pesalah kedua bagi kes persediaan melacurkan diri  di negeri ini yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini  hari ini.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail  memerintahkan tertuduh berusia 45 tahun menjalani hukuman empat kali sebatan selepas  peniaga nasi lemak itu mengekalkan pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan.

Beliau juga mengarahkan wanita yang menetap di Klang, Selangor tersebut menjalani hukuman pemulihan akhlak di Pusat Pelindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor selama enam bulan mengikut Seksyen 68 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Berdasarkan pertuduhan, janda tanpa anak terbabit telah ditahan dalam serbuan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Pulau Duyong di sini pada pukul 11 malam, 19 September lalu.

Serbuan itu turut merampas pelbagai barangan termasuk kondom dan jel pelincir seks selain tertuduh mengakui menerima upah RM1,000 daripada pelanggannya bagi perkhidmatan seks berkenaan.

Tertuduh  yang pernah berkahwin dua kali termasuk kali terakhir lebih setahun lalu didakwa mengikut  Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.


Sebelum ini, seorang ibu tunggal dari Kota Bahru, Kelantan yang turut melakukan kesalahan melakukan persediaan melacurkan diri dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan enam sebatan oleh mahkamah sama pada 27 September lalu. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment