Translate

Monday, October 15, 2018

Oktoberfest bukan jadi budaya rakyat Malaysia

SEWAKTU bertugas di Biro Shah Alam kira-kira empat tahun lalu, penulis pernah menulis tentang bantahan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) tentang penganjuran pesta arak, Oktoberfest.

Berita muka depan Kos­mo! tersebut bertitik tolak daripada promosi berlebihan pada papan iklan milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Seksyen U2, Shah Alam berhubung penganjuran pesta itu yang diadakan di pekarangan pusat beli-belah One Utama, Damansara pada bulan Oktober 2014.

Tindakan penganjuran Oktoberfest anjuran sebuah syarikat pembuat arak terbesar negara ini secara terbuka dan promosi di bandar raya berpenduduk majoriti Islam terbabit disifatkan sebagai melampau.

Penyiaran berita tersebut sedikit sebanyak telah membuka mata ramai termasuk sebahagian kepimpinan Pas yang ketika itu masih me­rupakan komponen Pakatan Rakyat dalam kerajaan negeri Selangor bersama Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Bantahan yang dikemukakan pada masa itu menyebabkan Ma­jlis Bandaraya Petaling Jaya selaku pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab mengetatkan kelulusan dengan penganjuran Oktoberfest pada tahun 2014 terpaksa dipindahkan ke ruang tertutup di tempat letak kereta bertingkat pusat beli-belah One Utama.

Selain itu, syarikat pengiklanan yang terlibat memasang iklan pesta arak terbabit juga telah dikenakan tindakan digantung selama tiga bulan oleh MBSA.

Berdasarkan sejarah, Oktoberfest berasal dari Munich, Jerman. Pada mulanya ia disambut sepanjang bulan Oktober setiap tahun sebagai memperingati perkahwinan diraja antara Putera Mahkota Ludwig dan Puteri Therese pada tahun 1810.

Oktoberfest menjadi festival tahunan yang memberi fokus kepada sajian arak sepenuhnya mulai tahun 1896 dan diperkukuhkan lagi dengan catatan rekod meminum 120,000 liter bir sewaktu penganjurannya pada tahun 1910.

Budaya Oktoberfest mula meresap di negara ini menerusi acara secara kecil-kecilan di Pulau Pinang pada tahun 1973 sebelum berkembang di bandar-bandar besar di negara ini hasil inisiatif sebuah syarikat arak pada tahun 2011.

Promosi pesta arak itu dilihat semakin agresif sejak tahun 2014 sehingga meresahkan orang Islam yang merupakan majoriti di negara ini.

Larangan bukan sahaja meminum malah terlibat dalam pembuatan, pengeda­ran dan penjualan arak jelas dinyatakan Allah dalam beberapa ayat dalam al-Quran se­perti ayat 219 surah al-Baqarah:

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: Yang lebih daripada keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir.”

Kebanyakan kita sedia maklum keburukan arak bukan sahaja menjejaskan pemikiran dan kesihatan malah dianggap sebagai ‘ibu segala maksiat’ yang boleh mengundang pelbagai perbuatan jenayah dan mungkar sewaktu peminumnya dalam keadaan mabuk.

Contoh terdekat ialah 40 kematian di sekitar Selangor, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan metanol dipercayai berpunca daripada pengambilan minuman beralkohol jenama Grand Royal Whiskey, Mandalay Whiskey dan King Fisher pada bulan lalu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penganjuran Oktoberfest jelas tidak mengambil kira sensitiviti penganut Islam yang bukan sahaja merupakan kelompok teramai malah merupakan agama rasmi diiktiraf Perlembagaan negara.

Beliau yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia berkata, menghormati sensitiviti antara kaum dan agama merupakan asas penting bagi sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia.

“Kita kena sedar hidup dalam masyarakat majmuk. Jangan me­lakukan perkara melampaui batas yang menyentuh sensitiviti agama, apatah lagi Oktoberfest ini dilihat (seakan-akan) mahu menarik orang Islam sama (menyertainya).

“Kalau itu berlaku (orang Islam menyertai Oktoberfest), tanggungjawab orang Islam kena halang kerana pasti ada perkara dilarang dilakukan dalam pesta itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Abdul Hadi berkata, Oktoberfest tidak wajar menjadi acara tahunan di negara ini kerana budaya bangsa Jerman itu tidak sesuai dengan norma agama, budaya dan adat resam negara ini.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung pula berkata, pada dasarnya semua agama melarang atau tidak menggalakkan amalan meminum arak kerana kemudaratannya.

Pengerusi Multiracial Reverted Muslim yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan Islam itu berkata, larangan meminum arak tercatat dalam kitab Injil Lukas dan Efesus yang menjadi pegangan pe­nganut agama Kristian.

Kesimpulannya, Oktoberfest tidak sesuai dianjurkan di negara ini ke­rana bertentangan dengan norma agama, budaya dan adat resam Malaysia.

No comments:

Post a Comment