Translate

Wednesday, October 17, 2018

Pondok Darussalam legasi istitusi pondok Terengganu

INSTITUSI pengajian pondok yang merupakan sistem pendidikan Islam formal terawal negara telah berakar umbi di Terengganu sejak abad ke-19 lagi.

Sekolah pondok yang menerapkan pengajian agama Islam berasaskan kitab tulisan ulama dan agamawan tersebut masih mendapat tempat sehingga kini dan kebanyakannya telah dimodenkan seiring dengan peredaran masa.

Di Terengganu, dianggarkan lebih 40 sekolah pondok di seluruh negeri tersebut termasuk Pondok Darussalam yang terletak di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Sekolah pondok yang diasaskan Allahyarham Abdul Rahman Ahmed yang merupakan seorang guru agama terkenal di Terengganu telah didaftarkan sebagai sekolah agama rakyat pada 2 Mac 1999.
Mudir Pondok Darussalam, Khalid Abdul Rahman berkata, sekolah pondok berkenaan dibina di tanah seluas 0.67 hektar yang telah diwakafkan Abdul Rahman yang juga bapanya.

Beliau berkata, penubuhan Pondok Darussalam merupakan inisiatif allahyarham ayahnya untuk meneruskan sistem pengajian pondok berasaskan Islam sebagai alternatif kepada pendidikan moden.

"Pondok Darussalam mempunyai sembilan bilik darjah, dua bilik kuliah am, perpustakaan, ruang pejabat, dua rumah guru, seunit rumah kedai dan surau yang mampu mengisi 250 jemaah pada satu-satu masa.

"Selain itu, kami juga memiliki asrama putera dan puteri yang dihuni 100 pelajar termasuk 22 orang daripadanya perempuan. Kesemua insfrastruktur tersebut dibina atas sumbangan syarikat korporat dan individu persendirian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Khalid yang kini mewarisi pengurusan Pondok Darussalam berkata, Pondok Darussalam menawarkan sistem pendidikan menggunakan kitab-kitab berbahasa Arab sebagai rujukan utama dalam pengajian.

Ujar beliau, sekolah pondok kendaliannya menawarkan dua peringkat silibus pendidikan iaitu Idadi dan Thanawi yang masing-masing tempoh pengajiannya memakan masa tiga tahun.

"Pengajian peringkat Idadi ditawarkan kepada murid lepasan sekolah rendah yang mendapat sekurangnya 2A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan lulus Penilaian Perkara Asas Fardhu Ain, khatam al-Quran serta boleh menulis jawi dengan lancar.

"Peringkat lanjutan iaitu Thanawi pula terbuka kepada pelajar lulusan Pentaksiran Tingkatan Tiga aliran Agama Islam selain khatam al-Quran dan boleh menulis jawi," katanya.

Khalid memberitahu, selain 80 peratus sukatan pelajarannya tertumpu pada kitab agama, Pondok Darussalam turut menawarkan subjek akademik iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Geografi.

Menurut beliau, setakat ini, sembilan lepasan Thanawi di sekolah pondok ini telah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan tujuh orang di institusi pengajian tinggi di Mesir, seorang di Yaman dan seorang bakal mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia tidak lama lagi.

"Tiga daripada bekas pelajar juga telah ditawarkan untuk menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar sekolah pondok berkenaan yang kini berjumlah 23 orang," ujar beliau.
Khalid berkata, Pondok Darussalam kini mempunyai 100 pelajar termasuk 22 orang daripadanya merupakan penuntut asing dari Kemboja, Vietnam dan Thailand.

Menurut beliau, yuran pengajian di Pondok Darussalam adalah percuma dan pelajar yang kesemua menghuni asrama sekadar membayar RM30 sebulan bagi caj bil utiliti.

"Penyediaan makanan diuruskan sendiri secara berkumpulan oleh pelajar dengan kemudahan dapur dan silinder gas memasak serta beras disediakan pengurusan sekolah," katanya.

Khalid berkata, Pondok Darussalam bersyukur menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berupa geran tahunan berjumlah RM60,000.

Ujar beliau, peruntukan itu diguna sepenuhnya untuk pembayaran elaun tenaga pengajar dan menampung bil elektrik dan air di sekolah terbabit.
"Sebahagian kecil pelajar kelahiran Terengganu di Pondok Darussalam yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan juga menerima bantuan MAIDAM tersebut dalam bentuk zakat," katanya.

No comments:

Post a Comment