Translate

Monday, October 29, 2018

Partiban buang sentimen kenegerian

PEMAIN sayap Terengganu Football Club I (TFC I), J. Partiban menganggap pertembu­ngan final Piala Malaysia di Shah Alam, Sabtu ini sangat bererti buatnya kerana bakal menentang skuad negeri kelahirannya, Perak.

Bekas pemain Perak dan Sarawak itu tambah teruja kali pertama melangkah ke pentas final Piala Malaysia sepanjang karier bola sepak profesionalnya.

“Ini merupakan momen final paling indah bagi saya kerana bakal berdepan negeri kelahiran dan juga bekas pasukan. Begitupun sebagai pemain profesional, semangat kenegerian diketepikan.

“Saya mengimpikan kejua­raan bersama skuad yang sedang saya wakili iaitu TFC I,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Partiban yang berusia 26 tahun berkata, mara ke final Piala Malaysia merupakan kemuncak kepada hasil daripada kerja keras pemain dan pengurusan TFC I sejak awal musim.

Pemain yang berasal dari Tambun, Ipoh itu memberitahu, mereka sudah pastinya mahu menoktahkan perjuangan musim ini dengan menjulang Piala Malaysia yang berprestij.

“Kami sepasukan dalam motivasi tertinggi dan sedang bekerja keras menghadapi pertembu­ngan yang saya anggap sebagai epik,” katanya.

TFC I yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu pernah dua kali bertembung dengan Perak di pentas final Piala Malaysia iaitu pada tahun 1998 dan 2001.

Aksi final 1998 dimenangi Pe­rak sebelum giliran TFC I pula berjaya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama tiga tahun kemudian.

No comments:

Post a Comment