Translate

Tuesday, October 2, 2018

Perluas fungsi masjid untuk lebih diimarah masyarakat

KEMAMAN – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, pengurusan masjid perlu mengambil langkah proaktif memperluaskan fungsi rumah ibadah tersebut bagi memastikannya terus diimarahkan masyarakat seiring dengan peredaran zaman.

Baginda bertitah, masjid bukan hanya tempat ibadah tetapi merupakan pusat pembangunan modal insan yang menjadi jambatan memperkukuhkan persaudaraan, kesefahaman, kesa­tuan, keharmonian, keadilan dan keilmuan masyarakat terutama dalam kalangan umat Islam.

“Masjid boleh dijadikan pusat penyebaran ilmu. Budaya ilmu ini bukan hanya berbentuk ce­ramah atau kuliah semata-mata tetapi perlu dalam pelbagai versi lain seperti kelas tambahan akademik, pusat asuhan kanak-kanak dan perpustakaan.
“Ia juga perlu mesra masyarakat termasuk golo­ngan orang kurang upaya dengan mengadakan program berbentuk kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis akad nikah, korban dan akikah,” titah baginda sewaktu merasmikan Masjid Pengkalan Pandan, Chukai di sini semalam.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda.

Masjid Pengkalan Pandan boleh memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa siap dibina dengan kos RM3.5 juta pada tahun 2009.

No comments:

Post a Comment