Translate

Monday, October 29, 2018

Budak lelaki mati lemas di Sungai Pulau Wan Man

KUALA TERENGGANU – Seorang murid prasekolah ditemui mati lemas di Sungai Pulau Wan Man berhampiran Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang tersebut, mayat Muhammad Rayyan Adam Mohd. Rosnan, 6, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu kejadian mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik sedang bermain di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya.

“Sewaktu sedang leka mandi di sungai tersebut, kaki mang­sa yang tinggal di Kampung Losong Pasir di sini dipercayai terlekat dalam tanah berlumpur di dasar sungai ber­kenaan sebelum dia tiba-tiba tenggelam,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Suffian berkata, pegawai perubatan yang memberi bantuan pernafasan kepada Muhammad Rayyan Adam kemudian mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Mangsa yang sebelum ini menetap di Taman Fikri 2, Kemaman baru berpindah bersama ibu dan adik pe­rempuan berusia dua tahun di rumah datuknya di Kampung Losong Pasir setelah kematian bapa­nya akibat pe­nyakit paru-paru berair pada bulan April lalu.

No comments:

Post a Comment